Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari Kejayaan Pasukan Leicester City?

Apa-Yang-Kita-Boleh-Belajar-Dari-Kejayaan-Pasukan-Leicester-CityTahniah diucapkan kepada pasukan LEICESTER CITY kerana berjaya muncul JUARA Liga Perdana Inggeris (Barclays Premier League) bagi musim 2015/2016. Kejuaraan kelab bolasepak Leicester City ini telah mengejutkan dunia bolasepak kerana mereka berjaya mengatasi kelab-kelab besar seperti Chelsea, Manchester City, Manchester United, Arsenal, Liverpool serta pasukan-pasukan lain.

Leicester City bermula sebagai sebuah pasukan yang kurang dikenali dan tidak diambil perhatian oleh peminat-peminat bolasepak seluruh dunia. Status mereka hanya sebagai sebuah pasukan kerdil yang bersaing di bahagian bawahan liga pada musim lepas. Misi mereka adalah untuk terus terselamat dari penyingkiran/relegasi dari Liga Perdana Inggeris. Akan tetapi mereka telah berjaya bangkit untuk menjadi pasukan juara bagi musim 2015/2016 ini.

Apa yang dilakukan oleh pasukan Leicester City sebenarnya menunjukkan kepada kita yang sukan bolasepak itu sesuatu yang sangat menarik, penuh kejutan dan memberikan inspirasi kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Buka Mata Pemerhati Bolasepak

Bagi pemerhati bolasepak di seluruh dunia, apa yang dilakukan oleh pasukan Leicester City adalah salah satu kejutan terbesar dalam sejarah bolasepak moden khususnya di Liga Perdana Inggeris. Sudah tentu pasukan kerdil ini tidak boleh dipandang rendah sebagai pasukan belasahan lagi. Pada musim hadapan mereka akan bersaing pula dengan kelab-kelab elit eropah yang lain di Liga Juara-juara Eropah (UEFA Champions League).

Bagi peminat-peminat bolasepak pula, mesti ada yang akan mula meminati dan menyokong pasukan juara baru ini. Itu perkara biasa, bila sesebuah pasukan itu jadi hebat, mesti akan bertambah lebih ramai penyokong mereka. Tapi jangan pula ada yang baru menyokong tiba-tiba mengaku dia dah sokong Leicester City sejak 10 tahun lepas lagi. Hohoho!

Tanpa Bintang Bolasepak Terkenal

Secara peribadi saya tidak mengenali seorang pun pemain Leicester City pada permulaan liga dulu. Nama Jamie Vardy mula naik apabila dia menjadi penjaring utama yang memecahkan rekod jaringan gol 11 perlawanan berturut-turut dalam sejarah Liga perdana Inggeris. Hanya dia seorang saja pemain yang saya kenal. Jaringan-jaringan yang dilakukan oleh Jamie Vardy itu sebenarnya yang membantu pasukan Leicester City konsisten di kedudukan atas liga pada awal musim.

No Star No Problem! Mereka telah buktikan pada dunia yang pasukan tanpa bintang-bintang bolasepak terkenal tetap mampu menjadi juara di salah sebuah liga terbaik di eropah. Selepas jadi juara pada tahun ni sudah tentu ada beberapa pemain utama mereka yang akan menjadi bintang bolasepak terkenal pada masa akan datang. Mungkin ada juga yang akan berhijrah apabila disambar oleh pasukan lain.

Duit Bukan Segalanya

Tidak dinafikan faktor duit dan kewangan yang kukuh memainkan peranan penting untuk membantu sesebuah pasukan menjadi kuat dan bergelar juara. Ini telah dibuktikan oleh pasukan-pasukan besar dan kaya raya seperti Real Madrid, Chelsea, PSG, Man City dan banyak lagi. Memang kejuaraan tidak boleh dibeli tapi dengan duit yang banyak mereka akan membeli pemain-pemain berbakat besar yang mahal harganya. Pemain-pemain berbakat yang bergelar bintang inilah yang akan membantu mereka jadi juara.

Tetapi pasukan Leicester City telah tunjukkan kepada dunia bolasepak, walaupun tanpa duit yang banyak mereka tetap mampu untuk bergelar juara. Mereka tidak berbelanja besar membeli pemain-pemain yang mahal. Mereka bukanlah kelab yang kaya raya jika nak dibandingkan dengan kelab-kelab yang disebutkan diatas tu. Apa yang mereka lakukan menunjukkan semangat dan kesungguhan telah mengatasi duit dan kekayaan pasukan lain.

Faktor Nasib Baik

Mungkin ada yang kata hanya nasib je tu menang liga. Memang betul juga faktor nasib tapi menang tetap menang. Adakalanya faktor nasib baik juga perlu ada untuk menjadi seorang juara. Sebagai contoh ada beberapa perlawanan pasukan Leicester City hanya menang dengan jaringan tipis 1-0 saja ke atas pasukan-pasukan lain. Seolah-olah mereka sangat bernasib baik untuk menang dalam perlawanan itu.

Dalam permainan bolasepak memang macam tu. Tak kisahlah menang tipis ke, menang besar ke, menang sebab penalti ke, asalkan menang dapat 3 mata itu yang paling penting. Permainan cantik dan skill individu pula hanya penyeri saja untuk sedap mata memandang. Tak guna juga kalau main cantik tapi selalu kalah. Biar main tak cantik tapi selalu menang. Sebagai penyokong bolasepak mereka hanya nak lihat kemenangan saja tak kisahlah berapa gol yang dijaringkan.

Semangat Juang Tinggi Untuk Menang

Faktor nasib baik itu juga datang dari semangat pemain-pemain Leicester City yang sangat luar biasa. Barisan pertahanan mereka dari penjaga gol dan pemain-pemain pertahanan kental bertahan supaya tidak bolos gol. Bahagian tengah dan penyerang pula bijak menyusun serangan menjaringkan gol-gol penting yang memberikan kemenangan berharga.

Ternyata kita dapat melihat semangat juang yang tinggi pemain Leicester City telah mengatasi bakat besar yang dimiliki oleh pemain-pemain bintang terkenal yang ada dalam kelab-kelab yang lebih besar dari mereka.

Pengurus Yang Hebat & Berpengalaman

Salah satu kelebihan yang ada pada pasukan Leicester City adalah kerana mereka mempunyai pengurus yang hebat dan berpengalaman iaitu Claudio Ranieri. Didalam sebuah pasukan bolasepak, seorang pengurus itu adalah kepala yang berperanan penting dalam mencorakkan hala tuju pasukan. Claudio Ranieri telah membuktikan taktikal yang beliau terapkan mampu menjadikan pemain tidak ternama mencipta kemenangan demi kemenangan. Asalkan mempunyai semangat dan kesungguhan sertai mengikuti segala arahan yang diberikan oleh jurulatih.

Katakan didalam sesebuah pasukan bolasepak itu ramai pemain bagus, tapi dapat pengurus yang teruk maka pasukan itu tidak akan ke mana juga. Jika dapat pengurus yang bagus itu adalah satu kelebihan besar kepada sesebuah pasukan bolasepak untuk membentuk pasukan yang mantap.

Kelab Bolasepak Yang Perlu Dicontohi

Pasukan-pasukan bolasepak di Liga Malaysia perlu mencontohi kejayaan pasukan kelab Leicester City. Jangan terlalu mengharapkan dana yang besar baru dapat bersaing dengan pasukan lain. Pemain pula jangan tunggu dibayar gaji mahal baru nak main dengan bersungguh-sungguh. Tapi buktikan melalui semangat yang tinggi, bermain demi maruah pasukan dan berusaha menggembirakan penyokong dengan memberi kemenangan. Hargailah penyokong-penyokong setia pasukan anda yang sentiasa menyokong pasukan di waktu kalah dan menang.

Semoga kejayaan kelab Leicester City akan memberi inspirasi kepada semua pasukan bolasepak yang bertanding dalam Liga Malaysia supaya berusaha lebih gigih untuk mencapai kejayaan dan seterusnya dapat menaikkan mutu sukan bolasepak di negara kita Malaysia.

Kesimpulan

Artikel ini ditulis hanyalah berdasarkan pandangan peribadi saya sebagai seorang peminat bolasepak. Saya tergerak hati untuk menulis tentang pasukan Leicester City ini kerana tertarik dengan kejayaan luar biasa mereka sebagai sebuah pasukan kerdil yang memenangi kejuaraan besar. Salah satu dari kejaiban bolasepak dunia. Mereka telah mencipta sejarah baru dalam bolasepak.

Kejayaan yang dicapai oleh pasukan Leicester City ini adalah contoh terbaik kepada kita semua supaya terus bersemangat untuk mencapai kejayaan yang kita inginkan dalam hidup ini. Tidak perlu jadi sempurna baru boleh berjaya. Mulakan saja dengan apa yang kita ada biarpun terpaksa bermula dari bawah. Gunakan kelebihan yang ada pada diri kita dengan sebaiknya. Setiap orang mampu berjaya dalam apa saja perkara yang mereka inginkan jika mereka berusaha gigih untuk mencapainya. InsyaAllah.

Bermula dari bawah, berakhir di atas menjadi juara. Start Small, Dream Big!

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di Instagram @NikThoha

About Nik Thoha

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di Instagram @NikThoha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *