Sedekah Membantu Memudahkan Urusan

Sedekah Membantu Memudahkan UrusanSaya ingin berkongsi pengalaman tentang keajaiban sedekah yang berlaku kepada diri saya sendiri. Pengalaman ini telah berlaku beberapa bulan yang lepas. Dah lama rasa nak berkongsi tapi asyik tertangguh saja dan baru hari ini berkesempatan untuk menulis.

Semasa hendak pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur, saya singgah seketika di KL Sentral untuk solat asar disana. Sampai disana saya terlihat ada seorang lelaki berusia yang sedang menjual buku-buku agama kepada pengunjung surau yang telah siap solat.

Saya pun terdetik dalam hati hendak beli buku dari pakcik tu sebab timbul rasa kesian dan memang niat untuk bersedekah. Tapi saya menangguhkan dulu hasrat tersebut kerana hendak mengambil wudhuk dan solat. Dalam hati berkata, tak mengapa lepas solat boleh beli lagi.

Selepas selesai solat saya pun meneruskan hasrat untuk membeli buku dari pakcik tersebut tapi malangnya buku yang dia jual telah pun habis. Dalam hati rasa kecewa juga sebab tak dapat meneruskan hasrat untuk bersedekah pada hari itu. Tapi saya redha, mungkin bukan rezeki saya untuk membantu dan bersedekah pada hari itu.

Pada sebelah malamnya semasa sedang menunggu bas, saya didatangi oleh seorang lelaki lain yang juga menjual buku-buku agama di stesen bas tersebut. Hasrat saya untuk membantu membeli buku dapat ditunaikan tapi melalui orang lain. Tanpa berfikir panjang saya terus membeli 2 3 biji buku agama dari lelaki tersebut.

Saya tanya dia berapa harga buku-buku yang saya ambil. Dan dia jawab boleh bagi berapa saja ikut ikhlas. Saya pun bagi sejumlah wang yang nilainya melebihi nilai harga buku-buku yang saya ambil. Dengan niat untuk membantu dan bersedekah kepada penjual buku tersebut. Saya rasa lega sebab dapat menunaikan hasrat untuk bersedekah pada hari tu walaupun melalui orang yang berbeza.

Dalam poket saya hanya tinggal dalam RM15 saja semasa pulang ke kampung selepas saya gunakan duit yang selebihnya untuk membeli buku-buku tadi. Saya hanya tawakal saja dengan duit yang ada sebanyak tu.

Apabila sampai di kampung halaman pada waktu subuh, saya perlu mendapatkan kereta sewa kerana jarak dari stesen bas dengan rumah agak jauh. Harga tambang kereta sewa biasanya dalam RM20-RM30. Agak susah untuk dapat harga yang kurang dari itu kerana pada waktu pagi harga tambang memang mahal.

Tapi saya sangat bernasib baik kerana ada seorang pakcik pemilik kereta sewa sanggup menghantar saya balik ke rumah dengan hanya RM15 sahaja. Tidak pernah saya dapat harga semurah tu sebelum ini. Mujur ada pakcik ni yang sudi membantu.

Tiba-tiba saya teringat balik yang sebelum itu saya pernah berniat membantu dan bersedekah kepada lelaki yang menjual buku-buku agama kepada saya.

Mungkin ada yang kata perkara ini hanya berlaku secara kebetulan? Atau mungkin juga bantuan itu datang dari amalan sedekah yang saya lakukan sebelum itu. Hanya Allah yang maha mengetahui segalanya.

Jika hati kita rasa terdetik untuk bersedekah dan membantu orang lain, teruskan saja hasrat tersebut kerana kita tidak tahu bila lagi kita akan berpeluang untuk membantu orang lain. Mungkin pada waktu itu Allah mencampakkan keinginan tersebut kepada kita supaya kita dapat melakukan amalan sedekah yang sememangnya besar ganjaran pahala disisi Allah.

Bantulah mengikut kemampuan diri kita. InsyaAllah semoga kita sama-sama dapat meneruskan amalan sedekah dalam kehidupan seharian kita.

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di Instagram @NikThoha

  • 2
    Shares

About Nik Thoha

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di Instagram @NikThoha

2 comments on “Sedekah Membantu Memudahkan Urusan

  1. yeen

    Memang btol pun.. banyak kali sangat dapat kejadian-kejadian menarik sebegini bila kita tawakal bersedekah apa yang ada. Rezeki Allah memang sangat luas dan datang dalam pelbagai cara.. Alhamdulillah.. 🙂

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *