Teknik Pemasaran Facebook: 4 Tip Simple Tapi Power

Pemasaran-Facebook-Tip-Simple-Tapi-PowerAnda sedang buat bisnes melalui facebook? Atau berminat untuk belajar pemasaran guna facebook? Maka tip pemasaran facebook ini adalah untuk anda. Ia sangat mudah untuk dipraktikkan. Perkongsian ini adalah melalui pengalaman saya sendiri. Dan ilmu pemasaran ini juga disedut dari bos saya semasa saya bekerja sebagai Online Marketing dengan syarikat beliau suatu masa dahulu.

Kita boleh saja membuat promosi hentam kromo dalam facebook. Contohnya saya lihat ada rakan facebook saya yang post banyak-banyak gambar dalam satu masa sekaligus. Ada gambar ayat motivasi dua tiga keping, lepas tu ada gambar bisnes dan screenshot income yang dia dapat. Saya lihat cara tersebut sangat kurang berkesan untuk menarik perhatian rakan-rakan facebook. Saya sendiri pun tak faham apa yang dia cuba sampaikan.

Tip-tip yang saya akan kongsikan ini adalah mudah dan berkesan jika kena pada caranya. Ianya boleh dipraktikkan melalui facebook page dan juga facebook profile anda. Atau boleh juga dipraktikkan dalam media sosial lain seperti twitter dan instagram.

1) Motivasi / Inspirasi / Tazkirah

Pada waktu pagi, semua orang mahu memulakan hari mereka dengan lebih baik dari semalam. Mereka mahu jadi lebih bersemangat. Mereka sudah tentu tidak mahu bermula dengan perkara buruk. Pada waktu begini, sangat tidak sesuai jika anda berkongsi berita-berita sedih atau berita buruk tentang kemalangan, kematian, pembunuhan, rogol dan sebagainya. Sudah tentu ia akan mengganggu emosi pembaca tersebut dipagi hari.

Apa yang terbaik adalah kita kongsikan perkara yang boleh memberi semangat kepada rakan facebook kita. Contohnya kita berkongsikan mutiara kata dan tip motivasi. Cerita-cerita yang memberi inspirasi juga sangat bagus untuk memberi semangat kepada orang yang membacanya pada waktu pagi. Sudah tentu mereka akan rasa lebih bersemangat untuk memulakan tugas dan kerja pada pagi tersebut.

Waktu pagi semasa orang baru buka facebook. Dalam jam 7 – 9 pagi. Waktu ni ramai orang buka facebook semasa dalam perjalanan ke tempat kerja dan sebelum memulakan tugas seharian.

2) Berita Terkini / Isu Semasa

Apa isu semasa yang sedang hangat pada masa sekarang itu? Semasa saya tulis artikel ni isu paling hangat adalah tentang pelaksanaan GST dan juga pelaksanaan hudud di kelantan. Kita tidak perlu nak tunjuk pandai dalam hal ini kerana jika tersilap kita akan dihentam oleh orang lain.

Cukup hanya sekadar berkongsi artikel-artikel dari sumber-sumber yang sahih. Disini kita hanya mahu tunjukkan kepada rakan-rakan facebook kita, yang kita alert dengan isu semasa. Dan ia juga akan menarik orang lain untuk sama-sama berkongsi pandangan dan mengambil tahu.

Kita boleh share tentang isu semasa ni pada waktu tengahari iaitu semasa orang sedang berehat dan sambil makan tengahari sambil main handphone, iaitu diantara jam 12 – 2 petang.

3) Santai / Aktiviti Seharian / Cerita

Kita perlu kongsikan tentang aktiviti bisnes kita seharian. Apa yang kita sedang buat sekarang. Contohnya kita sedang menguruskan tempahan, kita pergi ke pejabat pos dan lain-lain. Jika ada gambar lagi bagus supaya orang akan bertambah yakin dengan bisnes kita. Boleh kongsikan juga gambar-gambar testimoni produk dari customers untuk lebih meyakinkan.

Kita boleh ceritakan perjalanan positif bisnes kita pada hari tersebut. Kita perlu nampak santai dan kita sangat seronok menjalankan bisnes. Orang yang baca cerita kita juga sudah tentu akan rasa berminat dan teruja untuk tahu tentang bisnes kita dengan lebih lanjut.

Pada waktu petang diantara jam 5 – 6 petang biasanya orang baru balik dari kerja atau sedang berehat. Mereka kurang berminat untuk melayan sebarang bentuk promosi kerana penat dengan tugas seharian. Sebab itu kita perlu bercerita secara santai supaya tidak nampak seperti terlalu membuat promosi kepada mereka.

4) Promosi / Review Produk / Bagi Info

Pada waktu malam adalah waktu yang sesuai untuk kita mula membuat aktiviti promosi di facebook. Masa ni orang sedang berehat bersama keluarga. Dalam masa yang sama mereka akan online facebook untuk tengok update terkini. Masa ni lah kita buat review tentang produk yang kita jual dan letakkan ‘call to action’ supaya pembaca akan bertindak.

Contohnya tanya soalan dan suruh mereka komen, suruh PM atau letakkan kod sms supaya mereka dapat hubungi kita melalui sms/whatsapp. Ramai orang yang hanya akan bertindak apabila mereka diberikan arahan selanjutnya.

Jika target customer kita adalah seorang surirumah, mereka akan lebih aktif online biasanya diantara jam 10 – 12 malam. Pada waktu ini juga mereka akan buat pembelian jika tersangkut dengan mana-mana produk yang mereka minat. Ini kerana pada waktu sebelum jam 10 malam, ada diantara mereka yang perlu menguruskan keluarga dan anak-anak.

*

Tip-tip yang saya kongsikan di atas adalah untuk membantu bisnes kita sentiasa aktif melakukan pemasaran online melalui media sosial facebook. Kita perlu memberi tahu dan selalu membuat perkongsian tentang bisnes yang kita jalankan melalui facebook pada setiap hari. Kadar keberkesanan adalah bergantung kepada produk dan bisnes masing-masing. Ada yang cepat dapat hasil dan mungkin ada yang lambat.

Yang penting adalah kita buat secara konsisten dan tidak putus asa. Jika kita dapat lakukan tip-tip diatas secara konsisten, maka bisnes dan jualan yang kita buat akan lebih meningkat. InsyaAllah.

Katakan dalam sebulan anda meletakkan target untuk mendapat jualan produk sebanyak 200 unit. Jumlah target itu nampak sangat besar bagi seseorang untuk dicapai. Dalam sebulan kita ada purata 30 hari. Anda bahagikan 200 unit itu kepada 30. Dalam sehari anda hanya perlu usahakan untuk terjual sebanyak 7 – 8 unit sahaja. Nampak kecil dan tidak berat sangat untuk kita capai target tersebut kan?

Mudah-mudah anda mendapat manfaat dari ilmu yang saya kongsikan. Saya doakan semoga bisnes anda akan bertambah maju dan sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah. Jangan berhenti berusaha.

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di Instagram @NikThoha

About Nik Thoha

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di Instagram @NikThoha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *