Hadapi Dengan Penuh Kesabaran Atau Buktikan Dengan Kejayaan

Hadapi Dengan Penuh Kesabaran Atau Buktikan Dengan KejayaanSaya pasti ramai di antara kita merupakan peminat filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Banyak filem-filem beliau masih lagi mendapat tempat di hati kita dan ia tidak pernah lapuk di telan zaman. Banyak filem-filem yang beliau lakonkan dapat memberi banyak pengajaran berguna dalam kehidupan kita seharian.

Salah satu filem yang popular adalah Sarjan Hassan. Filem ini mempunyai banyak pengajaran berguna yang boleh kita ambil. Sudah tentu pengajaran utama filem ini adalah tentang sejarah. Tapi saya bukan nak ulas pasal sejarah.

Jika anda masih ingat sebelum sarjan hassan masuk askar dia hanyalah orang kampung biasa. Apabila mengetahui ada tawaran untuk menyertai Askar Melayu, dia pun berminat untuk menyertainya. Akan tetapi hajatnya itu dihalang oleh bapa angkatnya. Saudara angkatnya iaitu Ajis telah diterima oleh bapanya untuk masuk askar.

Orang-orang kampung meraikan kejayaan ajis yang akan menyertai Askar Melayu seolah-olah seperti orang yang berjaya masuk ke universiti pada zaman sekarang. Orang kampung menganggapnya seorang yang hebat dan berani. Hassan pula dianggap seorang yang pengecut dan tidak berani menjadi askar seperti ajis.

Hadapi Penghinaan Dengan Sabar

Oleh kerana tidak masuk askar seperti ajis, hassan dianggap LOSER dan dihina oleh orang-orang kampung yang mengatakan dia pengecut. Malah kanak-kanak pun berani menganjing kepada dia dengan mengatakan abang hassan penakut.

Tapi dia seorang yang sabar dengan penghinaan dari orang-orang kampung tersebut. Bukan dia tidak mahu masuk askar tapi hajatnya untuk bersama-sama dengan ajis menyertai Askar Melayu telah dihalang oleh bapanya.

Tapi adakah orang-orang kampung kisah atau peduli dengan sebab-sebab tersebut? Sudah tentu tidak.

Mereka hanya nampak luaran saja iaitu seorang lelaki pengecut dan tidak nampak sebab-sebab disebaliknya iaitu dihalang oleh keluarga.

Buat Pengorbanan Untuk Berhijrah

Hassan merasa tertekan dengan penghinaan orang kampung tersebut sehingga dia tekad untuk pergi sendiri menyertai Askar Melayu walaupun dihalang keras oleh bapanya. Dia perlu memilih antara keluarga dan juga kerjayanya.

Akhirnya dia telah memilih untuk menyertai askar kerana tidak tenang jika terus berada dikampung. Maka dia berhijrah keluar dari kampung bagi mencapat hajatnya menjadi seorang askar. Satu pengorbanan meninggalkan keluarga terpaksa dibuat demi untuk menjadi seorang askar.

Buktikan Dengan Kejayaan

Hassan akhirnya berjaya diterima untuk masuk Askar Melayu. Hassan telah berusaha gigih sehingga akhirnya dia berjaya menjadi seorang sarjan. Sudah tentu ia tidak datang dengan mudah untuk mendapat pangkat yang tinggi tersebut.

Kiranya hajat dia pada mulanya untuk menjadi seorang askar telah berjaya. Apabila dapat menjadi askar yang berpangkat sarjan itu maknanya dia lebih berjaya lagi. Pada akhirnya Sarjan Hassan kembali ke kampung halamannya sebagai seorang HERO yang menyelamatkan orang kampung dari keganasan tentera Jepun.

Dilema Dua Pilihan Antara Keluarga Dan Kerjaya

Dilema Dua Pilihan Antara Keluarga Dan Kerjaya

Saya pasti setiap dari kita pernah menghadapi situasi ini. Iaitu kita terpaksa membuat pilihan penting dalam hidup diantara keluarga dan kerjaya. Tidak semua pilihan kerjaya yang kita idamkan akan diterima oleh keluarga. Ataupun kita tidak sanggup meninggalkan keluarga semata-mata untuk kejar cita-cita yang belum tentu pasti masa depannya.

Diantara keluarga dan kerjaya yang mana lebih penting? Sudah tentu keluarga lebih penting tapi kerjaya juga adalah masa depan kita.

Dalam hal ini kita boleh buat pilihan sama ada untuk ikut saja apa kata keluarga. Tugas kita adalah menjaga ibu ayah dan ahli keluarga kita. Sudah tentu ianya jasa yang cukup besar.

Tapi orang-orang sekeliling tidak akan nampak semua tu. Mereka hanya nampak kita seorang yang LOSER jika kita tidak mempunyai kerjaya yang hebat. Apatah lagi jika hanya membuat kerja-kerja kampung yang dianggap rendah tarafnya berbanding mereka yang bekerja di bandar yang bergaji besar.

Jadi jika kita telah membuat pilihan untuk keluarga maka kita perlu menghadapinya dengan penuh kesabaran dan perlu kuatkan semangat menerima segala tekanan dari luar. Sudah pasti ganjaran pahala besar menanti kita.

Jika kita terpaksa memilih untuk kerjaya, maka kita perlu membuat pengorbanan. Bukan bermaksud kita derhaka tapi kita juga mempunyai impian hidup. Kita perlu ada masa depan yang cerah untuk terus berbakti kepada keluarga kita.

Sebaiknya kita perlu meminta izin dari ibu dan ayah supaya setiap usaha yang kita lakukan akan lebih diberkati. Sudah tentu mereka akan memahami impian dan cita-cita anak mereka yang mahu berjaya dalam kerjaya hidupnya.

Jangan Peduli Pandangan Orang Terhadap Kita

Mulut orang lain kita tidak akan dapat tutup. Orang boleh berkata apa sahaja kepada kita. Kita terpaksa menerima hakikat hidup memang macam tu.

Jika berada dibawah dan tidak mempunyai apa-apa sudah tentu akan dihina oleh orang lain. Bila berada di atas menjadi orang berjaya dan kaya maka ramai yang buka mata dan memuji kehebatan kita.

Tapi akan ada juga yang mula datang dekat untuk ‘berkawan’ kerana bersebab. Jika kita tidak membantu mereka maka kita akan dituduh pula seorang yang kedekut, berlagak, sombong dan sebagainya.

Sampai bila pun kita tidak akan dapat untuk memuaskan hati semua orang. Penat nak puaskan hati orang lain. Kita tidak akan dapat memaksa orang lain suka apa yang kita buat.

Apa yang lebih penting adalah apa yang kita buat itu sentiasa diberkati oleh Allah dan mendapat keredhaan ibu bapa kita. Apa orang lain nak kata pekakkan saja telinga. Jangan simpan dalam hati. Tidak perlu berdendam.

Kita Semua Adalah Orang Yang Berjaya

Apa sahaja pilihan yang kita buat sama ada keluarga atau kerjaya. Kedua-keduanya akan memberikan kejayaan kepada kita. Kita buatlah pilihan mengikut keputusan mana yang terbaik dalam hidup kita.

Kita memilih keluarga supaya kita akan lebih dekat dan senang untuk menjaga ibu bapa. Mudah-mudahan berkat doa dari ibu bapa, rezeki kita akan sentiasa bertambah dan hidup kita sentiasa bahagia walaupun tanpa kerjaya hebat dan tidak kaya seperti orang lain.

Jika dapat mencapai cita-cita kerjaya yang kita idamkan maka syukur Alhamdulillah kerana diberikan peluang untuk kita mencapai kejayaan tersebut. Gunakan kejayaan itu untuk membalas jasa kepada ibu bapa dan membantu ahli keluarga kita yang lain juga.

Jangan putus asa dan teruskan berusaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam hidup kita. InsyaAllah.

Saya doakan anda yang membaca tulisan saya ini akan sentiasa diberikan kejayaan dalam hidup anda. Tidak kiralah apa sahaja kerjaya yang anda lakukan. Doakan kejayaan saya juga ya. Terima kasih. 🙂

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di Instagram @NikThoha

About Nik Thoha

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di Instagram @NikThoha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *